Aku melangkah keluar dari Akademi Marrow.Satu semangat baru mengalir di tubuhku.Api semangat kebebasan bertiup hebat di sanubariku.Aku tidak sabar untuk memulakan kerjaku di kota ini.Satu perkara yang pasti ialah aku akan berbakti sebaik mungkin untuk kota ini sehinggalah ajal menjemputku.Itu sumpahku dan itu kata janjiku yang aku sematkan di atmaku sampai bila-bila.Selagi hayat dikandung badan selagi itulah aku akan terus berbakti dan berbakti dengan menangkap semua penceroboh di kota ini.
Tiba-tiba aku terasa satu sentuhan di bahuku.Aku pantas menoleh.Aku tersenyum melihat wajah yang cukup aku kenali itu.
“Hai Mon!Kau nak pergi mana lepas tamat pengajian ni?”tanya Ery.
“Kerjalah.Kejap ya Ery.”Aku lantas mengeluarkan sesuatu daripada poket seluarku.
“Tengok ni!Ini ID aku lepas sahaja aku tamat belajar di Akademi Marrow.Kau sekarang tak boleh panggil aku Mon.Kau kena panggil aku Ejen 103 Mon.”Ery mencebik.Aku tertawa melihat wajah Ery yang mencebik.Aku tahu dia marah dengan sikapku yang menunjuk-nunjuk.
“Aku pun adalah.Kau sekarang tak boleh panggil aku Ery.Panggil aku Ejen 101 Ery.”Ery menunjukkan kad ID miliknya benar-benar di hadapan wajahku.Aku sekali lagi tertawa.
“Ery,aku rasa kita tak boleh berbual panjanglah.Kau pun tahu tugas aku macam mana?Dan aku pun tahu tugas kau pun berat juga.Jadi,kita berpisah di sini sajalah.Lain kali kalau aku ada waktu terluang aku akan hubungi kau.”Aku menghulurkan tanganku dan kami bersalaman.Kemudian kami berdua mengambil langkah kami masing-masing.
Ery akan menjalankan tugasnya dengan uniform merahnya manakala aku pergi menjalankan tugasku dengan uniform putihku.Aku terus melangkah dan melangkah dan aku perlu pergi bertemu dengan senior aku untuk meminta segala tunjuk ajar daripada mereka.
Kakiku pantas melangkah ke Pusat Pertahanan Kota.Keringatku mula membasahi bajuku dan mula mengalir deras dari dahiku.Aku mengipas-ngipas diriku sendiri.Aku berasa pelik.Kenapa lambat sangat sampai?Aku kini berada di persimpangan jalan.Aku tidak tahu sama ada aku perlu melangkahkan kakiku ke kiri atau ke kanan.Aku mengeluh.Kenapa bayangan Pusat Pertahanan Kota belum berjaya aku temu?Mataku melilau-lilau memandang ke kiri dan ke kanan.Semua penduduk kota sibuk dengan hal masing-masing.Tiba-tiba ada seseorang yang menghampiri diriku.Dia memakai uniform yang sama denganku.Dia melambaikan tangannya kepadaku.Aku terkesima.Siapakah dia?Kenapa lagaknya seperti dia sudah lama mengenali diriku.Dia semakin menghampiri diriku dan akhirnya dia menyapa aku.
“Hai,awak ni Ejen 103 Mon kah?”soalnya.Aku hanya mengangguk.Dia tersenyum dan kemudiannya dia menghulurkan tangannya kepadaku.Aku menyambut huluran salamannya.
“Maafkan saya tapi boleh saya tahu siapa Encik?”soalku.Aku harap dia dapat menjawab soalanku kerana aku mahu mematikan persoalan di benak fikiranku sejak tadi.
“Saya Ejen 099 Mon.Saya telah ditugaskan untuk menjemput awak ke Pusat Pertahanan Kota dan saya telah pergi ke Akademi Marrow sebentar tadi.Tapi malangnya awak tiada.Jadi saya cuba mencari awak di kawasan ini.Nasib baik awak belum pergi jauh.Jadi sekarang ni saya jemput awak naik kereta saya.Kita sama-sama pergi ke PPK ataupun Pusat Pertahanan Kota.”Aku sangat gembira mendengar penjelasannya.Aku mengangguk tanda faham dan mengikutnya menaiki keretanya yang dia parking berdekatan dengan Akademi Marrow.
Aku telah dibawa oleh Ejen 099 Mon ke PPK.Dia telah menunjukkan aku pelbagai kawasan di dalam PPK tersebut.Pusat Pertahanan Kota ini sangat luas.PPK ini meliputi Makmal Nodus Limfa dan makmal tersebut menempatkan saintis-saintis yang menghasilkan antibody bagi melawan segala jenis penyakit.Saintis-saintis tersebut dikenali dengan nama Lymphocytes.Di sini juga terdapat Makmal Heparin.Aku diberitahu Ejen 099 Mon bahawa heparin merupakan bahan yang dihasilkan kaum Basophils untuk menghalang darah daripada membeku di dalam badan manusia.
Sudah hampir seminggu aku bekerja sebagai Ejen 103 Mon atau nama penuhku Ejen 103 Monocytes.Aku ditugaskan untuk menahan dan menghapuskan penceroboh yang dikenali sebagai bakteria ataupun aku ditugaskan menghapuskan sel-sel mati.Aku berlegar-legar di sekitar saluran darah.Aku ingin mencari bacteria yang tidak dikenali untuk dihapuskan.Tiba-tiba ada seseorang sedang melambai-lambaikan tangannya kepada aku.Aku mengecilkan mataku untuk memfokuskan cahaya yang masuk ke dalam mataku kerana aku tidak nampak siapakah gerangan itu.Dia semakin menghampiriku.
Aku tersenyum melihat sekujur tubuh yang kini telah pun berada di hadapanku.
“Dah lama aku tak jumpa kau Ery.”Hanya ucapan itu yang terlontar dari mulutku.
“Aku pun dah lama tak jumpa kau Mon.Kau mesti gembira jumpa aku kan?Lagipun sekarang sukar untuk aku bertemu dengan kau kerana kita bertugas di tempat yang berlainan.”Wajah Ery tiba-tiba bertukar muram.Aku sendiri tidak faham kenapa keceriaan wajahnya boleh bertukar dalam sekelip mata.
“Mon,kau pun tahu kan yang tugasku hanya di dalam saluran darah sahaja.Aku tak boleh nak menembusi lubang-lubang di saluran darah untuk masuk ke dalam Bendalir Interstis.Walaupun saiz badan aku lebih kecil daripada kau tapi kau ada kelebihan.Kau boleh mengubah bentuk badan kau mengikut lubang tersebut”sambung Ery lagi.
“Ery,kau tak perlu risau kalau kau tak bertemu dengan aku.Kita masing-masing ada kerja yang lebih penting untuk dibereskan.Kau pun tahu kita perlu bekerja dengan berkesan agar Edlia dapat menikmati hidupnya dengan lebih sempurna.Kau pun tahu yang kau sangat penting untuk badan ni.Kau dah mengangkut oksigen pada setiap hari di seluruh badan Edlia dan kau dah mengangkut karbon dioksida setiap hari daripada sel badan ke paru-paru untuk proses penukaran gas.Kau sepatutnya bangga dengan apa yang telah kau lakukan pada badan Edlia.Betul tak?”
Wajah Ery atau lebuh dikenali dengan nama Erythrocytes atau pun sel darah merah bertukar ceria semula.Aku berharap kata-kataku sebentar tadi dapat membangkitkan semangatnya.Aku melihat wajahnya.Dia kelihatan agak pucat.
“Kenapa kau pucat ni Ery?”tanyaku inginkan kepastian.
“Sebenarnya protein dalam badanku iaitu haemoglobin sedang berkombinasi dengan karbon dioksida untuk dibawa ke paru-paru untuk proses penukaran oksigen dan karbon dioksida,”jelas Ery.Aku hanya mengangguk mendengar penjelasan daripada Ery.
Tiba-tiba ada satu bunyi loceng yang sangat kuat.Aku dan Ery terkejut mendengar deringan loceng tersebut.Aku tahu pasti ada sesuatu yang sedang berlaku.
“Ery,aku terpaksa pergi.Kau pun tahu apa maksud bunyi deringan loceng tersebut bukan?Aku yakin ada penceroboh di dalam saluran darah!Aku pergi dulu”Ery mengangguk tanda faham.Selepas mengucapkan selamat tinggal Ery terus menghilang mengikut saluran darah.Aku pula mula mengecilkan badanku dan membentuk diriku melalui lubang-lubang yang terdapat di saluran darah untukku memasuki Bendalir Interstis dan menuju ke Pusat Pertahanan Kota.
“Hachoo..”Edlia terbersin.Entah kenapa sejak dari tadi dia berasa tidak selesa.Dia berasa seperti hendak demam.Otaknya menghantar signal ke kakinya untuk segera melangkah ke biliknya.Dia menguak pintu biliknya dan menutupnya kembali.Selepas itu dia melangkah ke kamar beradunya dan menghenyakkan diri ke atas katil.Dia menarik selimut dan menutupi badannya.Matanya mula kuyu dan dia mula memejamkan matanya.Selepas itu dia tidur untuk merehatkan dirinya daripada demam yang tiba-tiba datang menyerang badannya.
Semua sel darah putih telah berkumpul di dalam dewan Pusat Pertahanan Awam.Kami semua tertanya-tanya penceroboh jenis apakah yang telah menceroboh badan Edlia?Aku fikir pasti kali ini penceroboh yang menyerang badan Edlia bukan calang-calang.Jikalau penceroboh tersebut dikenali,semua sel darah putih akan segera membuat antibodi terhadap penceroboh tersebut.Tetapi kali ini respons terhadap penceroboh ini agak lambat dan aku tidak faham kenapa jadi begini.Lebih-lebih lagi aku merupakan ejen baru dalam sistem pertahanan ini.Ejen 001 Leukocytes naik ke atas pentas dewan.Aku pula sudah bersedia dengan taklimat yang akan diberikannya selepas ini.Dewan yang tadi agak hangar-bingar mula sunyi sepi.Semua nampaknya sudah bersedia untuk mendengar penjelasan ketua kami.
“Salam sejahtera kepada semua.Tujuan saya panggil kalian berkumpul kerana saya nak memberitahu kamu semua tentang pencerobohan sejenis virus yang menyerupai dengan virus selesema .Protein asing yang terdapat pada virus tersebut ialah Hemagglutinin dan juga Neuraminidase.Tetapi virus tersebut terlalu cepat bermutasi dan mengubah strukturnya.Pada hari ini juga saya ingin mengarahkan kaum Lymphocytes untuk cepat menghasilkan antibodi bagi melawan virus tersebut.Kaum Neutrophils dan Monocytes pula anda perlu bersedia untuk berperang dengan virus tersebut.”
Tiba-tiba aku berdebar-debar.Aku rasa tidak sedap hati dengan perkara ini.Apakah sebenarnya virus tersebut?Aku semakin risau.Setelah sesi taklimat tersebut selesai kami semua bergegas membuat kerja masing-masing.
Aku telah bersedia dengan pakaian perangku.Kaum Lymphocytes telah menghasilkan antibodi tersebut dan kami tidak tahu sama ada antibodi tersebut akan berhasil atau pun tidak.Aku terasa resah.Ini kali pertama aku akan menentang virus dan lebih menakutkan lagi virus tersebut merupakan virus yang sangat hebat.Lebih hebat daripada virus yang pernah aku temui sebelum ini.Kami semua mengetahui bahawa virus tidak boleh dihapuskan kerana virus sangat bijak.Virus terlalu cepat bermutasi.Lagipun kami tahu virus tidak aktif di luar badan perumah dan virus juga bukanlah sejenis sel hidup.Virus hanya boleh membiak di dalam organisma yang hidup dan virus perlu merosakkan organisma tersebut untuk kekal hidup.
Selain itu aku juga mengtahui bahawa virus perlu mempergunakan badan organisma hidup untuk sebarang duplikasi diri mereka.Hal itulah yang sangat merisaukan diri aku.Aku khuatir sebarang jenis antibodi pun tetap tidak dapat mengikat virus tersebut.
“Perhatian kepada semua kaum Monoctes dan Neutrophils.Sila bergerak ke kawasan penceroboh sekarang.”
Pengumuman telah dibuat.Kami semua bergegas menuju ke kawasan trak Ejen Pertahanan Awam Kota.Aku bersedia menaiki trak tersebut dan trak tersebut membawa aku dan teman seperjuanganku ke kawasan virus tersebut.Jantungku terusan berdetak hebat.Aku tidak tahu apakah yang aku risaukan.Aku barangkali bimbang andai nyawaku nanti akan tergadai.
Kereta kebal berhenti.Aku tahu aku telah tiba di kawasan virus.Aku keluar dari trak tersebut bersama-sama teman seperjuanganku yang lain.Kami senyap-senyap menuju ke tempat persembunyian virus tersebut.Aku sudah mulai nampak kawanan virus tersebut.Aku bersedia menerima arahan daripada pegawai atasanku.Setelah beberapa minit menunggu,aku telah menerima signal daripada pegawai atasanku untuk melepaskan tembakan.
Boom!Bunyi tembakan sebentar tadi benar-benar memeranjatkan virus-virus yang tidak mengetahui kedatangan kami.Semua kaum Monocytes dan Neutrophils mula melepaskan bertalu-talu das tembakan.Ada di antara virus tersebut yang terkena tembakan dan jatuh rebah.Antibodi itu telah berfungsi mengikat virus-virus tersebut.
Aku gembira kerana virus-virus tersebut berjaya diikat dengan antibodi yang dihasilkan.Aku bersedia untuk memusnahkan virus tersebut.Aku merapati salah satu dariada virus tersebut dan hampir hendak membunuhnya tetapi tiba-tiba virus tersebut bermutasi dan antibodi yang mengikat badannya mula dapat dileraikan.Aku terkejut melihat mutasi virus tersebut.Bagaimana virus tersebut dapat bermutasi dengan cepat?
“Kau terkejut tengok aku dapat leraikan diri daripada antibodi tak guna tu?”soalnya dengan nada sindiran.Dia hanya tersenyum menyindir dan akhirnya dia memberikan tumbukan sulung pada wajahku.Aku terjatuh.Walaupun sakit dengan tumbukan tersebut aku masih berdaya untuk menembak.Aku menembak dan tembakanku langsung tidak tersasar dan mengenainya tetapi malangnya antibodi tersebut tidak dapat melekat di badannya.Antibodi tersebut tidak dapat mengikat dirinya.Aku melihat di sekelilingku.Semua virus telah bermutasi dan tidak sedikitpun terancam dengan antibodi yang ditembak ke arah mereka.Aku melihat teman seperjuanganku.Mereka semua kelihatan lemah dan hampir tidak bertenaga melawan virus ini.Virus tadi yang menumbukku mula menghampiri diriku.Sekali lagi dia menghadiahkan penumbuk dan memijak dadaku.Aku mengerang kesakitan.
“Macam mana dengan anak saya doktor?”tanya Puan Maria.Suasana suram di dalam bilik doktor tersebut menyebabkan jantungnya lebih berdetak pantas.
“Berdasarkan simptom-simptom yang dihadapi anak Puan dan sample darahnya kami mengesahkan dia dijangkiti H1N1.”Kata-kata doktor tersebut menyebabkan darah Puan Maria naik serta merta.Dia terkejut dengan penjelasan doktor tersebut.Sekali lagi dia bertanya untuk meminta kepastian.
Doktor tersebut mengangguk.“Puan janganlah terlalu risau kerana Puan cepat menghantar anak Puan ke hospital.Saya telah pun memberikan suntikan anti-viral kepadanya.Berdasarkan kes H1N1 di hospital ini,kebanyakkan pesakit H1N1 telah pun sembuh ekoran rawatan awal yang diberikan kepada mereka.Pesakit-pesakit yang meninggal dunia akibat penyakit ini kebanyakkannya mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis,kanser paru-paru dan sebagainya.Jadi Puan janganlah terlalu risau dan banyakkan berdoa kerana anak Puan tidak mempunyai sebarang penyakit kronik”
Puan Maria menarik nafas lega mendengar penjelasan doktor tersebut.
“Doktor,bilakah anak saya boleh pulang?”tanya Puan Maria lagi.
“Saya tidak pasti bila tapi mungkin selepas tempoh seminggu ini.Puan dan keluarga Puan perlu mengkuarantinkan diri di dalam rumah Puan selama seminggu kerana saya bimbang virus tersebut telah menjangkiti Puan dan keluarga Puan yang lain.Puan jangan pergi ke mana-mana selama tempoh itu.Jika Puan terpaksa keluar juga tolong ambil semua langkah pencegahan dan keselamatan yang disarankan.Virus H1N1 ini berada di kelas A.Virus ini sangat cepat bermutasi dan kami risau andai kata anti viral kami tidak berkesan lagi setelah virus tersebut bermutasi dengan lebih hebat.”Puan Maria mengangguk tanda faham. Kemudian dia keluar dari bilik doktor dengan pelbagai perasaan yang bercampur-baur.
Virus tersebut cuba memijakku sekali lagi.Belum sempat dia memijak tubuhku tiba-tiba aku melihat ada sekumpulan antibodi yang tidak aku kenali datang menghampiri pertempuran antara ejen sel darah putih dengan virus.
Virus-virus yang hebat itu mengerang dan meraung-raung kesakitan.Antibodi yang mungkin datang dari sumber luar itu mula melekatkan diri mereka ke badan-badan virus tersebut.Aku bangun semula dan memandang teman seperjuanganku.Aku tersenyum memandang mereka.Nampaknya kami sudah memperoleh bantuan dari luar.Aku yakin Edlia sudah pasti bertemu dengan doktor dan telah diberi ubat.Aku bersyukur dan sangat lega dengan apa yang telah berlaku.
Kami semua bersedia menyerang virus tersebut.Kami menghancurkan protein Hemagglutinin dan juga Neuraminidase yang terlekat di badan mereka.Setiap empat jam sekali sel darah putih yang terlibat dengan pertempuran ini akan mendapat bantuan dari luar.Pertempuran ini berlangsung selama seminggu.Virus-virus tersebut semakin lemah dan protein Hemagglutinin dan juga Neuraminidase yang berada di badan mereka berjaya dineutralkan oleh antibodi dari luar.
Ejen Lymphocytes juga telah dapat mengenal pasti antibodi yang perlu dihasilkan jika virus ini aktif kembali.Kemenangan yang telah kami perolehi ini semua berkat daripada ubat-ubat yang telah diminum Edlia.Aku terlalu bersyukur kerana Ejen Pertahanan berjaya mengalahkan virus-virus tersebut.Kami semua sedar kami perlu berhati-hati dengan serangan virus seperti ini lagi.
Pertempuran antara Ejen Pertahanan iaitu sel darah putih dengan virus tersebut sudah hampir dua minggu berlalu.Ejen Lymphocytes kini telah berjaya mengenal pasti jenis virus-virus tersebut.Ejen Lymphocytes juga telah menghasilkan antibodi yang sangat banyak sehingga melebihi tahap keimunan badan Edlia.Kini badan Edlia telah imun dengan virus tersebut.Selepas beberapa kajian yang telah dilakukan oleh Ejen Lymphocytes,mereka telah mengenal pasti virus tersebut sebagai Influenza A Semua Ejen Pertahanan Kota menyedari bahawa virus ini boleh bermutasi dengan lebih hebat.Oleh itu,Ejen Pertahanan Kota ataupun lebih dikenali sebagai Ejen Leukocytes akan lebih bersedia menghadapi sebarang serangan seperti itu.Kami akan memastikan virus Influenza A tersebut tidak ampuh untuk bermutasi lagi kerana kami akan terus menyerang virus tersebut sekiranya virus tersebut cuba bermutasi dengan lebih hebat.Sekarang virus tersebut masih tinggal lagi di dalam badan Edlia tetapi mereka berada dalam keadaan yang tidak aktif.Oleh itu.kami perlu memastikan bahawa virus tersebut akan kekal tidak aktif agar virus tersebut tidak akan dapat merosakkan sistem pertahanan badan Edlia lagi.
Sesungguhnya aku sangat bersyukur dengan apa yang telah berlaku.Kini,aku menjalankan tugas seharianku seperti biasa.Setiap hari aku menghapuskan bakteria dan juga sel-sel yang telah mati daripada bersarang terus di dalam badan Edlia.Aku sangat gembira kerana berjaya berbakti kepada Edlia dan seperti janjiku aku akan terus berbakti dengan kota ini sehinggalah aku dihantarkan ke organ Hati untuk proses sintesis semua sel darah putih dan sel darah merah apabila sel-sel tersebut sudah semakin tua dan tidak berguna lagi kepada badan ini.
(2295 patah perkataan)
No comments:
Post a Comment